5 Oktober 2010, Selasa
Hari itu, Sal mengajak Misako untuk mengambil jubah konvo. Takut tiada saiz yang sesuai, katanya. Misako iyakan saja. Sekitar jam 11, Misako dan kawan-kawan bergerak ke Dewan Chanselori melalui Tamu Gadang yang belum begitu ‘all-out’. Ada juga terserempak dengan beberapa orang bekas pelajar yang seperti tidak sudi untuk menegur kami. Mungkin kami bukan antara cikgu yang telah menyentuh hidup mereka sepanjang berada di sini. Tidak mengapalah.
Misako memang tidak merancang untuk menghadiri konvo kali ini kerana ingin pulang ke kampung bagi menziarahi Aki yang sakit tua. Terasa sesuatu yang sukar diluahkan masa mengucup tangan Aki pada hari raya yang lepas. Tiada kata-kata lain yang dapat diucapkan selain mendoakan agar Aki cepat sembuh. Lama juga Misako genggam tangan Aki yang dimamah usia itu. Diam. Sambil memandang tepat ke mata Aki. Misako harap Aki faham dan tahu bahawa Misako sayangkan Aki.
“Sal, kemungkinan besar, aku ndak dapat join konvo Sabtu ni. Mo balik Sandakan mo tinguk nenekku. Dia ditahan di hospital beberapa hari tapi doktor izinkan dia balik sudah. Doktor kata, paru-parunya dan jantungnya lemah sudah”.
Sungguh Misako tidak menyangka, sejurus beberapa jam kemudian Aki telah kembali ke rahmatullah. Tepat jam 4.30 petang Aki menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kata ayah, Aki pergi dengan keadaan yang tenang. Zikir sentiasa meniti bibirnya. Kata ayah lagi, setiap kali ayah datang melawat Aki, beliau akan sentiasa bertanyakan tanda-tanda kematian. Adakah Aki ingin mengesahkan apa yang dirasainya dengan tanda-tanda tersebut? Mungkin.
Bagaimanakah pula bila tiba masa Misako nanti. Ya Allah, aku mohon padaMu agar kau peliharalah imanku, dan cabutlah nyawaku dalam keadaan aku bersedia dan redha. Teringat pula Misako dengan pertanyaan Danish tempohari. “Sakitkah mati, ummi?”
Aki, Allahyarham Hj Liwangsa Hj Zainal. Semoga rohmu bersama-sama mereka yang beriman. Semoga rohmu tenang dan dipelihara Allah di sana. Al-Fatihah.
Gambar Raya terakhir Aki
Nota: 6 Oktober adalah hari lahir Aki. Beliau dikebumikan pada tarikh hari lahirnya di Kg. Sentosa Jaya, Kota Kinabatangan.
No comments:
Post a Comment